Berita Semasa

Anugerah LAWA 2024 iktiraf organisasi sediakan persekitaran tempat kerja yang inklusif

PUTRAJAYA – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) baru-baru ini menganjurkan Majlis Anugerah Life At Work Awards (LAWA) 2024, bagi mengiktiraf organisasi yang menerajui prinsip Kepelbagaian, Kesaksamaan, dan Keterangkuman (DEI) serta amalan nilai di tempat kerja yang mampan.

Bertemakan ‘Mengiktiraf Kecemerlangan DEI untuk Kerja, Tempat Kerja, dan Tenaga Kerja yang Mampan’, anugerah tahun ini mencerminkan kepentingan yang semakin meningkat terhadap strategi inklusif dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam membentuk tenaga kerja Malaysia.

Wong Shu Qi

Pengerusi TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan, terutamanya pemimpin industri, bagi mewujudkan tempat kerja yang inklusif di mana para pekerja dapat berkembang maju.

“Majikan yang memberikan keutamaan kepada keperluan bakat semasa akan mendapat manfaat seperti peningkatan produktiviti, mengurangkan kadar aliran keluar masuk pekerja, dan meningkatkan hasil perniagaan yang lebih kukuh.

“Organisasi yang progresif bukan sahaja menarik dan mengekalkan bakat terbaik tetapi juga membina budaya keterangkuman dan menyumbang kepada matlamat yang lebih besar,” kata Shu Qi.

Majlis turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang anugerah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pegawai kanan kementerian, pemimpin industri, dan jemputan lain

Show More

Related Articles

Back to top button