Berita SemasaPolitik

Terima semula ahli dibuang, UMNO perlu ketatkan syarat – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menggesa supaya penerimaan semula ahli-ahli parti yang dibuang sebelum ini dilakukan secara lebih berhati-hati bagi mengelak kesan buruk terhadap parti itu pada masa akan datang.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub berkata, langkah itu termasuk mengenakan syarat-syarat yang ketat sekiranya ‘peluang kedua’ mahu diberikan demi untuk memperkukuhkan parti.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong cadangan Ahli Majlis Tertinggi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Sekiranya tindakan menerima semula mereka kedalam UMNO boleh memperkuatkan parti maka Veteran menyokong sepenuhnya.

“Tapi sekiranya kemasukan semula kedalam UMNO boleh memecah belahkan parti maka lebih baik mereka berada diluar UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, cadangan itu tidak sepatutnya mencetuskan tohmahan bahawa parti itu dalam keadaan terdesak seperti yang ditimbulkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil.

Semalam, bekas Ketua Penerangan UMNO itu dalam satu kenyataan berkata, tiada ahli yang telah dipecat mahu kembali berada dalam parti itu kerana perjuangan yang telah tersasar dari landasannya.

Mustapha berkata, sejarah UMNO sejak dari dahulu menyaksikan ramai pemimpin yang keluar atau dibuang dari parti diterima semula.

“Antaranya Mahathir. Jadi tidak pelik sekiranya ianya berlaku sekarang. Semuanya demi parti Melayu ini yang perlu dipertahankan.

“Biduk lalu kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam boleh bercantum semula. Apa yang penting ialah semua pihak misti ikhlas dan sanggup melupakan cerita lama,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button