Berita Semasa

Serangan Balai Ulu Tiram: Anggota polis cedera sudah dibenarkan keluar hospital

JOHOR BAHRU – Anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera terkena tembakan dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram 17 Mei lalu, sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota berusia 38 tersebut turut diberikan cuti selama dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya.

“Beliau ditembak dengan peluru menembusi bahagian bahu dan pinggul. Rawatan susulan pastinya ada daripada pihak hospital.

“Pastinya insiden itu memberi trauma kepada Mohd Hasif, dan beliau juga mendapatkan rawatan kaunseling ketika di hospital. Sekiranya perlu sesi kaunseling akan diberikan lagi.

“Keadaannya kini stabil, boleh berjalan dan tidak memerlukan tongkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan negeri Johor kepada Anggota PDRM Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu itu, dua lagi anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak individu bertopeng yang turut maut dalam kejadian itu.

Susulan kejadian, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek ditahan.

Dua daripada mereka, masing-masing pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah dibebaskan, manakala lima ahli keluarga suspek disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Show More

Related Articles

Back to top button