Berita Semasa

Bekas PM, pegawai akan dipanggil dalam masa terdekat – SPRM

Isu dana RM700 juta promosi kerajaan

SEPANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang bekas Perdana Menteri dan pegawainya akan dipanggil bagi dirakam percakapan berhubung penggunaan dana kerajaan sebanyak RM700 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka akan dipanggil pada minggu ini atau selewat-lewatnya minggu hadapan.

Jelasnya, tindakan itu bertujuan mengetahui bagaimana wang tersebut dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

“Berapa jumlah mereka yang akan dipanggil, biarkan SPRM melakukannya.

“Buat masa ini, saya fikir hanya seorang bekas pemimpin negara akan dipanggil dan beberapa orang yang berada di sekelilingnya,” kata Azam dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 iaitu ‘Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional’ di sebuah hotel di sini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, perkara utama dan mustahak adalah melihat bagaimana duit atau dana kerajaan itu dibelanjakan serta siapakah syarikat yang menerimanya.

Jelasnya, apabila berlaku sesuatu isu, maka siasatan perlu dilakukan dan tanggungjawab SPRM adalah menyiasat.

“Siasatan ini akan meliputi bagaimana ia dibelanjakan secara keseluruhan.

“Pastinya syarikat yang menerimanya akan disiasat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button