Berita Semasa

Kod QR digunakan di BSI, KSAB mulai 1 Jun ini

JOHOR BAHRU – Pendekatan menggunakan kod QR bakal dilaksanakan bagi pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula pada 1 Jun 2024.

Inisiatif tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2024 hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bukti konsep (POC) pelaksanaan kod QR itu melibatkan pengguna bas dan penunggang motosikal laluan M-Bike dalam di BSI dan KSAB terlebih dahulu.

“Inisiatif itu akan diperluaskan kepada semua pengguna termasuk bukan warganegara dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan termasuk kereta di fasa seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Datuk Seri Saifuddin; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pengguna motosikal di BSI dapat mengurangkan tempoh menunggu pada waktu puncak daripada 40 minit kepada 30 minit bersamaan 19 peratus penjimatan masa melalui inisiatif itu.

Sehubungan itu, tempoh menunggu bagi pengguna motosikal di KSAB pula dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit bersamaan 23 peratus penjimatan masa.

“Pelaksanaan Kod QR ini akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas pada waktu puncak di BSI daripada 120 minit kepada 15 minit bersamaan 83 peratus penjimatan masa.

“Manakala, tempoh menunggu bagi pengguna bas di KSAB dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit bersamaan 74 peratus penjimatan masa,” ujarnya.

Tambah beliau, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi MyDigital ID bagi inisiatif penggunaan QR tersebut walaupun kaedah manual masih lagi disediakan.

Sementara itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju dalam menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi melancarkan pergerakan bas di BSI dan KSAB agar tempoh menunggu dapat disingkatkan.

Show More

Related Articles

Back to top button