SDEC, 4 pengendali rangkaian mudah alih meterai MoU
KUCHING – Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) hari ini memeterai perjanjian dengan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sebagai satu langkah penting ke arah meningkatkan ketersambungan digital di luar bandar Sarawak.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MNO yang terlibat termasuk CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan YTL Communications Sdn Bhd (YTL).
“Ketika Sarawak bergerak ke hadapan dalam mencapai aspirasinya untuk menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini, kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan lagi jurang digital dan mempercepatkan transformasi digital di Sarawak.
“Ia juga bertindak untuk merangsang aktiviti ekonomi secara langsung dan menaikkan taraf hidup masyarakat selaras dengan objektif daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (Pelan Tindakan SDE 2030), tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum lersefahaman (MoU) berasingan berkaitan perayauan Domestik untuk SMART600 antara Maxis dan TM Technology Services Sdn Bhd (TM).
Pelanggan TM akan menikmati perkhidmatan selular TM di semua tapak SMART600, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan liputan rangkaian yang komprehensif di rantau ini.
Upacara tandatangan di Hikmah Exchange Event Centre, di sini disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang diwakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Perjanjian itu menandakan Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) 6 hala pertama di dunia, menyediakan perkhidmatan sambungan dari CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).
Jelas MCMC, syarikat telekomunikasi akan dapat mempercepatkan pengembangan jejak liputan mudah alih mereka di kawasan luar bandar Sarawak dengan bantuan 600 menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) yang dilengkapi dengan sistem MOCN.
Katanya lagi, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu adalah disebabkan usaha bersepadu pelbagai pemain utama, dengan MCMC memainkan peranan penting dalam menyediakan pengawasan kawal selia dan menyatukan MNO untuk bekerjasama dan membiayai bersama projek.
Sehubungan itu, kerjasama itu juga menyerlahkan perkongsian kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, menyampaikan model kerjasama baharu yang pertama dalam kategorinya di Malaysia di mana penting bagi pengembangan pesat liputan internet di kawasan luar bandar.
Projek tersebut dianggarkan dapat memanfaatkan sekitar 1,000 penempatan di luar bandar Sarawak di mana mereka akan menikmati liputan di mana-mana sahaja tanpa mengira jenis rangkaian yang mereka pilih.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi SDEC, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Pembangunan MCMC, Ir. Azizi Abdul Hadi, pegawai kerajaan lain dari agensi Persekutuan dan Sarawak dan wakil daripada pelbagai MNO.