PM bertemu pemimpin industri, perniagaan Jepun
TOKYO – Malaysia mempunyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun, hari ini.
“Antara syarikat yang terlibat adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.
“Ruangan dan peluang ini saya gunakan untuk memberi jaminan kepada mereka bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan,” kata Perdana Menteri dalam satu ciapan di akaun X miliknya, hari ini.
Tambahnya, antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor.
Beliau kemudiannya turut menegaskan, komitmen syarikat yang berminat perlu disusuli secara rapi supaya pelaburan ke dalam negara dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan.
“Dengan adanya interaksi kerajaan dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada Jepun, Insya Allah,” kata Anwar lagi.
Turut serta dalam pertemuan ini adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan wakil konglomerat Malaysia.