KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad sepak takraw negara atas dua kemenangan dalam Piala Dunia Sepak Takraw (ISTAF) yang berlangsung di Stadium Titiwangsa malam tadi.
Anwar menyifatkan kemenangan Malaysia ke atas Thailand yang sejak dari dahulu menguasai sukan tersebut sesuatu yang cukup membanggakan dan luar biasa.
“Satu pencapaian yang membanggakan dan luar biasa! Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan pada masa akan datang!” menurut Anwar dalam catatan melalui Facebook beliau.
Dalam perlawanan malam tadi, Malaysia menewaskan Thailand dalam dua kategori iaitu regu dan double sekaligus melonjak pasukan negara sebagai juara dunia.
Dalam acara double, Malaysia yang mempertaruhkan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin yang menundukkan pasangan Thailand Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut.
Manakala dalam acara regu, pemain berpengalaman Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias menunundukkan trio Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan dan Varayut Jantarasena.