Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bekas setiausaha politik Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan rasuah.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, didakwa menerima rasuah RM350,000 bagi membantu syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Walaubagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, bekas Setiausaha Politik kepada Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, server, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini, jam 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Show More

Related Articles

Back to top button