Berita Semasa

Cuaca tidak menentu, garis panduan penanaman semula pokok akan dikaji semula

PUTRAJAYA – Inisiatif penanaman semula pokok yang ditumbang pihak berkuasa akan dipertimbang semula dari pelbagai sudut sebelum ia dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, pihaknya kini merancang untuk berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar bidang berkenaan untuk mencari jalan terbaik perlaksanaan inisiatif tersebut.

“Penggantian (pokok) haruslah dilihat dari semua sudutnya seperti berapa jumlahnya selain juga saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggantikan 100 pokok bagi setiap penebangan. Maka kita akan ikut semua faktor itu.

“Selain itu, saya juga difahamkan ada formula khusus dalam penanaman pokok. Maka itu juga akan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Serahan Sumbangan Wang Tunai kepada Bakal Haji yang diadakan di Dewan Sri Melati, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merancang untuk mengkaji semula garis panduan inisiatif berkenaan atas faktor perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu baru-baru ini.

“Walaupun sebenarnya kita ada garis panduan, tapi mungkin garis panduan itu perlu dikaji semula.

“Mengambil kira keadaan dan suasana yang berbeza khususnya perubahan iklim yang tidak menentu, maka kita hendaklah melihat berkaitan pelaksanaan garis panduan baru,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button