[VIDEO] 1 Rumah 1 Jalur Gemilang semarakkan patriotisme dan cintakan negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berkenaan seiring dengan matlamat untuk memastikan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sentiasa dipergiat terutamanya ketika sambutan bulan Kebangsaan.
@malaysiatribune Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 dilancarkan hari ini sebagai pembuka tirai sambutan bulan kebangsaan. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, turut dilancarkan adalah kempen ‘Satu rumah, Satu Jalur Gemilang’ bagi semarakkan semangat patriotisme dan cinta terhadap negara. #malaysiatribune
“Bulan Kebangsaan merupakan perayaan yang sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia dengan perasaan berkobar-kobar untuk menghias Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
“Jalur Gemilang adalah simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Inilah bendera yang kita kibarkan pada setiap detik kejayaan ditempa di seluruh dunia,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 di Stesen Sentral Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis hari ini termasuk Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi kemudiannya turut menambah, semua pihak turut digalakkkan mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna, iaitu bendera tidak koyak, uzur atau lusuh, kerana ia adalah gambaran diri sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan tanah air.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, tahun ini juga amat istimewa dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia kerana negara bakal menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, tiada mana-mana negara lain di dunia yang memiliki keunikan sedemikian di mana pada setiap lima tahun, Malaysia bertuah kerana dapat menyaksikan istiadat berkenaan.
“Selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, harapan saya agar rakyat Malaysia tidak hanya menantikan cuti umum semata-mata.
“Sebaliknya, marilah kita semua meraikan keistimewaan ini serta menjadikannya waktu untuk berkumpul bersama dan mendalami sejarah institusi diraja,” katanya lagi.