Perkongsian strategik Malaysia, Uzbekistan dapat bina kekuatan
Jalin kerjasama dalam bidang minat khusus umat Islam
SAMARKAND – Malaysia dan Uzbekistan boleh bekerjasama sebagai pasukan yang kuat dalam pelbagai bidang yang mempunyai minat khusus umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkongsian strategik berkenaan dapat membina kekuatan dan melengkapi keupayaan kedua-dua negara majoriti Islam berkenaan.
“Kerjasama bukan sahaja dalam hubungan baik pembangunan halal, pensijilan halal dan industri halal, malah kita boleh bekerjasama dalam budaya dan seni ke tahap yang diselaraskan oleh menteri kanan (dari kedua-dua negara),” katanya dalam ucapannya di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysian di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand, semalam (waktu tempatan).
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev, dan kira-kira 200 wakil syarikat dari kedua-dua negara.
Anwar berkata, Malaysia dan Uzbekistan juga boleh memberi tumpuan kepada pendidikan dan bidang baharu dalam digital terutamanya Kecerdasan Buatan.
“Keupayaan masa depan kita bergantung bagaimana kita membina kekuatan (bersama). Kita harus sentiasa berusaha untuk melengkapi antara satu sama lain,” katanya lagi.
Anwar kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi tiga hari setelah tiba di Tashkent, kelmarin.