Berita SemasaJenayah & Mahkamah

KKM arah penjualan Kopi Pejuang mengandungi racun berjadual dihentikan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan larangan serta-merta penjualan produk Kopi Pejuang yang dikesan mengandungi racun berjadual dan boleh menyebabkan kesan sampingan pada kesihatan.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, KKM memaklumkan kopi untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk itu diaduk dengan racun berjadual seperti tadalafil yang boleh menyebabkan kesan advers serius.

Antara kesan penggunaan bahan itu tanpa pengawasan doktor adalah pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

“Sehubungan itu, semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk itu diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

“Pada masa yang sama, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan itu,” katanya.

Menurut KKM, bagi kesalahan menyedia dan menjual produk yang mengandungi apa-apa bahan beracun, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, label produk tersebut juga didapati tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar atau empunya hak untuk mengilang dan pengimport.

“Sehubungan itu, produk itu tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” kata KKM.

Sejak 2021 sehingga Julai 2024, sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisa bagi parameter racun berjadual dengan tujuh sampel didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button