Berita Semasa

Kampung Orang Asli Kerling kini nikmati rangkaian 4G

HULU SELANGOR – Masyarakat orang asli di Kampung Orang Asli (KOA) Kerling, Kuala Kubu Bharu dan kawasan sekitarnya kini dapat menikmati kemudahan perkhidmatan telekomunikasi melalui rangkaian 4G.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), kemudahan itu dapat dicapai apabila menara komunikasi siap dibina dan mula diaktifkan lebih awal melalui perkongsian rangkaian dan infrastruktur (MOCN) pada 8 Mei lalu.

“Penduduk di sekitar menara tersebut dapat menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh empat penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis, Redtone dan U Mobile.

“Mulai dari tarikh ini, penduduk boleh membuat pilihan pakej-pakej yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan ini mengikut kesesuaian atau keperluan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi melalui MCMC turut menggunakan rangkaian teras menerusi teknologi satelit bagi menampung keperluan mendesak penduduk sementara menunggu sambungan gentian optik disiapkan ke menara tersebut.

Menara berkenaan merupakan salah satu menara yang dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh MCMC.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dalam lawatan kerja ke menara tersebut telah mengumumkan secara rasmi kepada Tok Batin KOA Kerling, Muhammad Taufiq Abdullah serta masyarakat orang asli di kawasan berkenaan berkaitan kemudahan baru itu.

Sehubungan itu, Nie Ching turut diberi penerangan secara terperinci berkaitan pelaksanaan inisiatif itu oleh Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya.

Dalam lawatan yang sama, pihak MCMC turut menjalankan sesi ujian kualiti perkhidmatan di mana hasil dapatan mencatatkan kelajuan antara 40 Mbps sehingga 70 Mbps untuk empat perkhidmatan yang tersedia.

Lawatan turut dihadiri wakil-wakil daripada pihak CelcomDigi, Theta Edge dan Redtone yang terlibat dalam membina dan mengaktifkan perkhidmatan di menara tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button