Jenayah & Mahkamah

Gagal umum pertukaran nakhoda, dua bot tahan di Tawau

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana gagal mematuhi syarat sah lesen dalam dua tangkapan berasingan kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Pluto Timur 2/2023 dan Ops Tiris telah mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar perairan Inderasabah pada pukul 12.15 tengah hari.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan itu mendapati dua lelaki warga Indonesia masing-masing berumur 41 dan 24 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot tersebut.

“Pemeriksaan dokumentasi bot tersebut pula mendapati nama nakhoda bot tersebut tiada dalam pendaftaran dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Berikutan itu, sebuah lagi bot kargo tempatan yang membawa muatan buah sawit turut ditahan dan diperiksa.

Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati seorang nakhoda lelaki warga Indonesia berumur 37 tahun gagal memaklumkan pertukaran nakhoda bot terbabit.

Sehubungan itu, kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua krew terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Kesemua barangan rampasan bernilai lebih 160 ribu termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button