Sukma ke- 21 tawar 488 acara
KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 jenis sukan melibatkan 488 acara akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia ke- 21 (Sukma XXI) di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara rasmi bersetuju mempertandingkan 488 acara yang terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka.
“Setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk ianya dipertandingkan.
“Sukma XXI akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri itu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Hannah berkata, penganjur juga telah mengenal pasti lima perkampungan sukan utama sebagai penempatan atlet-atlet daripada 15 kontinjen iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri.
Pada masa sama, jawatankuasa Sukma juga memutuskan beberapa perkara antaranya 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sekretariat Sukma Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara kontinjen negeri yang terlibat.
Sekretariat Sarawak juga menetapkan Detik 100 Hari menjelang Sukma Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei yang akan disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.