Rencana

Panglima bakar semangat tatkala ‘The Navy People’ hadapi dugaan

TANGGAL 27 April 2024 yang lalu, genaplah 90 tahun usia Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Itulah tempoh lamanya angkatan laut ini menyumbang bakti dan berkorban demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.

Hasilnya, rakyat mampu menikmati suasana aman dan damai tanpa sebarang ganggu gugat musuh khususnya di perairan samudera negara.

Namun begitu, negara telah berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua buah helikopter TLDM iaitu Helikopter Operasi Maritim AW 139 dan Fennec di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April 24 yang turut mengorbankan seramai 10 nyawa perwira dan satria negara.

Tragedi ini ternyata memberi kesan yang sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar buat negara khususnya angkatan TLDM.

Selain ahli keluarga dan waris mangsa, individu yang paling terkesan dan berdukacita sudah pasti Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Jujur kata, di saat tersebarnya berita kejadian tersebut, ia pasti terus bertukar menjadi detik yang paling sukar dalam sejarah ketua warga ‘The Navy People’ ini.

Apa tidaknya, segala jawapan dan pengharapan berkaitan tragedi ini pasti tertumpu kepada sosok ini.

Menambah malang, spekulasi demi spekulasi yang tersebar di media sosial mengenai segala kemungkinan yang berlaku kepada dua helikopter malang ini menambahkan penderitaan kaum keluarga serta rakyat. Emosi mereka semakin diuji.

Dalam memikul beban dugaan dan tanggungjawab yang amat besar ini, Abdul Rahman dilihat sebagai Panglima angkatan laut yang berjiwa besar.

Selang beberapa waktu selepas kejadian, Abdul Rahman terus mengeluarkan kenyataan bahawa satu lembaga penyiasatan akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut di samping menyifatkan tragedi hitam itu sebagai satu yang amat malang.

Perjalanan pengurusan komunikasi krisis tersebut cepat dan pantas sampai kepada umum. Malah keseluruhan pengurusan tragedi tersebut dari mula sehingga kesemua jenazah wira dan wirawati negara berkenaan selamat dikebumikan juga berjalan amat lancar.

Namun apa yang lebih penting pasca tragedi ini ialah segala kebajikan waris-waris terutamanya emosi dan pendidikan anak-anak mangsa tragedi tersebut terus mendapat perhatian serta diambil tindakan segera.

Realitinya bukanlah semudah seperti yang digambarkan ini jika tiada pemimpin yang benar-benar tabah, prihatin dan tegas dalam hal ini.

Apa yang menarik perhatian, dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’ yang disampaikan oleh Abdul Rahman sendiri di hadapan kira-kira 3,000 warga TLDM baru-baru ini, beliau terus menyuntik dan membakar semangat The Navy People walau dalam keadaan pasukan keselamatan ini ditimpa dugaan besar.

Memetik kata-kata beliau dari atas mimbar yang bernada sayu tetapi tegas, “Warga the Navy People sekalian, janganlah mensia-siakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita. Kita adalah pejuang dan pahlawan. Kita adalah benteng pertahanan negara dan juga pemegang amanah bagi menjaga kesucian agama, kehormatan bangsa serta kedaulatan negara tercinta”.

Semoga TLDM terus dipimpin oleh panglima yang berjiwa besar serta bertaqwa dan menjadi sebagai sebuah organisasi yang gagah dan perkasa dalam mengharungi segala rintangan ketika melaksanakan tugas di samudera.

FAIZAL ABU SAMAH
LUMUT , PERAK

Nota : Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button