“KECERDASAN bukan hanya soal menjawab soalan, tetapi mencari kebenaran di sebalik teka-teki kehidupan.”
Demikian kata-kata yang pernah diungkap wanita dengan minda luar biasa, Marilyn vos Savant, seorang penulis, kolumnis dan personaliti terkenal di Amerika Syarikat.
Mencetuskan kekaguman dunia terhadap IQ yang tinggi, Marilyn menjadikan kebijaksanaan sebagai pedoman hidupnya, membimbing pembaca melalui persoalan-persoalan yang tampak rumit namun menyimpan jawapan yang indah.
Seperti pelita yang menerangi kegelapan, kehadiran beliau dalam dunia intelektual menjadi inspirasi bahawa ilmu dan logik, apabila dikongsi dengan penuh rendah hati, mampu membawa perubahan yang bermakna.
Marilyn pernah diiktiraf oleh Guinness Book of World Records kerana memiliki kecerdasan IQ tertinggi di dunia sekitar tahun 1980-an.
Nama sebenarnya ialah Marilyn Mach, tetapi beliau menggunakan nama keluarga ibunya, vos Savant yang bermaksud orang bijaksana dalam bahasa Perancis.
Menyusuri sejarah kehidupan beliau, Marilyn dilahirkan pada 11 Ogos 1946 di St Louis, Missouri, Amerika Syarikat. Beliau lahir dalam keluarga campuran Jerman, Itali dan Austria.
Sejak kecil, Marilyn telah menunjukkan minat dan kebolehan luar biasa dalam matematik, logik dan sains.
Pada usia 10 tahun, Marilyn telah menjalani ujian IQ Stanford-Binet, yang menunjukkan bahawa beliau mempunyai IQ luar biasa tinggi, melebihi 200 sekaligus menerima pengiktirafan Guinness Book of World Records.
Beliau merupakan pemegang rekod IQ tertinggi dunia dari tahun 1985 hingga 1989 dan memasuki Dewan Kemasyhuran Buku Rekod Dunia Guinness pada 1988.
Bagaimanapun, kategori ini dihentikan pada sekitar 1990-an kerana kekurangan standard pengukuran yang konsisten.
Ketika remaja, Marilyn bekerja di kedai ayahnya dan menulis untuk akhbar tempatan menggunakan nama samaran. Beliau berkahwin pada usia 16 tahun dan bercerai 10 tahun kemudian.
Marilyn seterusnya menyambung pelajaran di Kolej Komuniti Meramec dan mengambil jurusan falsafah di Universiti Washington, Saint Louis. Namun, selepas dua tahun beliau berhenti untuk membantu perniagaan pelaburan keluarganya.
Walaupun begitu, beliau terus berusaha mengembangkan ilmu secara sendiri dalam pelbagai bidang.
Pada tahun 1985, beliau berpindah ke New York dan mula menulis kolum terkenal Ask Marilyn dalam majalah Parade. Melalui kolum ini, Marilyn menjawab soalan logik, matematik dan teka-teki daripada pembaca.
Ia termasuklah soalan terkenal seperti Masalah Monty Hall, yang mencetuskan perbincangan hangat di seluruh dunia.
Di samping itu, Marilyn juga menulis beberapa buku yang membincangkan kecerdasan, logik dan isu-isu berkaitan pendidikan.
Marilyn kemudian berkahwin buat kali kedua pada 23 Ogos 1987 dengan Robert Jarvik , pencipta jantung buatan pertama yang berjaya digunakan secara klinikal.
Perkahwinan itu membolehkan Marilyn dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Jarvik Heart Inc. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Majlis Pendidikan Ekonomi Kebangsaan dan Muzium Sejarah Wanita Kebangsaan.
Pada tahun 2003, Marilyn telah dianugerahkan ijazah Doktor Persuratan Kehormat dari The College of New Jersey.
Beliau aktif dalam bidang pendidikan dan kerap bercakap tentang pentingnya memupuk kebolehan intelek dan logik dalam kehidupan seharian.
Apa yang pasti, Marilyn vos Savant akan terus dikenang sebagai tokoh yang berjaya mempopularkan sains, logik dan intelek melalui pendekatan mudah difahami masyarakat umum.
Beliau bukan sahaja memukau dunia dengan mindanya tetapi juga menjadi lambang bagaimana kecerdasan boleh mencetus perubahan dan perbincangan global yang membawa kebaikan.