Kapal selam negara beroperasi dengan baik – Khaled Nordin
KOTA KINABALU – Kapal selam Scorpene milik negara, KD Tun Razak membuktikan keupayaannya melalui ujian operasi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa lawatan beliau ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.
Pengalaman menyelam pada kedalaman maksimum operasi maksimum itu dikongsikan Mohamed Khaled melalui satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, pengalaman itu membuktikan keupayaan kapal selam negara beroperasi dengan baik dan berkesan.
“Dalam rangka lawatan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah, saya telah meninjau operasi KD Selangor di Laut China Selatan.
“Selain itu, saya juga berkesempatan melihat sendiri pelaksanaan operasi KD Tun Razak yang mana merupakan salah satu kapal selam milik TLDM.
“Semasa lawatan ini, saya bukan sahaja ditaklimatkan dengan kemampuan KD Tun Razak, malah diberi peluang menyelam pada kedalaman operasi maksimum,” katanya.
Hadir sama dalam tinjauan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled turut menyatakan keterujaan mengikuti pelayaran yang disertai oleh anak-anak kapal yang mahir dan kompeten dengan operasi kapal selam yang diperolehi dari Perancis pada 2009.
Beliau juga memberi komitmen untuk terus memperkasakan aset-aset ketenteraan strategik negara demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya pasti kapal selam ini bukan sahaja melambangkan pemodenan Armada TLDM, malah penting dalam membina imej Malaysia sebagai negara yang memiliki angkatan laut yang dihormati dan digeruni,” katanya.