Kassim Selamat selamat jalani pembedahan hilangkan buasir
SEREMBAN – Sepasukan pengamal perubatan haiwan berjaya mengubati penyakit buasir yang dialami seekor anak kucing yang diberi nama Kassim Selamat menerusi dua prosedur pembedahan baru-baru ini.
Menurut Dr Azliza, beliau dan pasukannya mengambil risiko demi menyelamatkan Kassim Selamat selepas melihat keadaanya yang cukup aktif.
“Selepas melihat perkongsian Sofea di media sosial, saya tergerak hati untuk menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk membantu. Dan saya melihat sinar harapan apabila buasirnya masih merah dan dia cukup aktif.
“Kebetulan beratnya mencukupi untuk menjalani prosedur pembedahan, jadi selepas mengambilnya di Kepong, kami membawa Kassim Selamat ke klinik dan terus melakukan pembedahan ke atasnya.
“Alhamdulillah kini dia semakin pulih dan stabil. Pada waktu itu, ususnya terkeluar dalam enam hingga lapan sentimeter (cm).
“Kami lakukan dua pembedahan iaitu purse string iaitu mengecilkan lubang Najis supaya buasirnya tidak terkeluar kembali dan Colopexy di mana usus besar dijahit ke dinding abdomen,” katanya.
Pemilik kucing berkenaan, Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi, 33, berkata, ini merupakan kali keempat kucingnya itu menjalani pembedahan sebelum pihaknya mendapat mesej dari Klinik Veterinar Chinta Qaseh yang menawarkan bantuan untuk merawat Kassim Selamat.
Jelas Sofea, disebabkan sudah berhabis ribuan ringgit untuk mengubati Kassim Selamat, dia pada mulanya nekad untuk melakukan pembedahan sendiri di rumah.
“Sehingga saya terfikir untuk melakukan prosedur purse string sendiri di rumah kerana lebih jimat. Waktu itu saya tawakal dan berkongsi keadaannya di media sosial dan tidak sangka ramai pihak menghubungi saya untuk berikan nasihat dan bantuan.
“Alhamdulillah, Dr Azliza sanggup datang dari Seremban ke rumah saya di Kepong untuk mengambil sendiri Kassim Selamat untuk dirawat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azliza berkata, pihaknya komited untuk memberi kan khidmat terbaik buat haiwan kesayangan, selain menawarkan layanan kelas pertama pada harga berpatutan.
“Misi kami jelas, mahu berikan rawatan first class pada harga mampu milik. Kami juga menawarkan servis ke rumah untuk rawatan berkala, namun untuk sakit kronik atau prosedur pembedahan, semuanya perlu dilakukan di klinik,” ujarnya lagi.