Gagal bayar pinjaman, Mahkamah Tinggi perintah Jovian Mandagie bayar RM10 juta
KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar sejumlah RM10 juta kepada dua pengarah syarikat setelah gagal membayar semula dua pinjaman persahabatan.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada 2 dan 4 April lalu, setelah menerima permohonan penghakiman terus yang difailkan oleh syarikat Cekap Air Sdn Bhd dan Bina Pragmatik Sdn Bhd.
Penghakiman terus adalah permohonan oleh plaintif iaitu syarikat tersebut untuk mendapatkan penghakiman mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Firma guaman Saiful, Roger & Co. yang mewakili kedua-dua syarikat mengesahkan keputusan tersebut.
Hakim Ahmad Fairuz memerintahkan Jovian, sebagai defendan, untuk membayar RM5 juta kepada setiap syarikat, iaitu Bina Pragmatik Sdn Bhd dan Cekap Air Sdn Bhd.
Terdahulu, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut pada 30 April lalu.
Pada 16 Mei tahun lepas, kedua-dua syarikat berkenaan memfailkan saman secara berasingan terhadap Jovian kerana gagal membayar semula pinjaman RM5 juta yang diberikan sebagai pinjaman persahabatan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat tersebut mendakwa bahawa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei, dan pengarah Bina Pragmatik, Azirul Salihin.
Cekap Air mendakwa telah memberikan pinjaman RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang tersebut ke akaun firma guaman yang mewakili Jovian.
Firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang atas arahan Jovian.
Bina Pragmatik pula mendakwa memberikan pinjaman dengan jumlah yang sama kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dan memindahkan wang ke akaun yang sama.
Kedua-dua plaintif mendakwa pinjaman persahabatan tersebut perlu dilangsaikan dalam tempoh tidak lebih daripada 12 bulan.
Menurut plaintif, pinjaman itu diberikan secara lisan dan kasual kerana mereka mengenali Jovian dan tidak mempunyai sebab untuk meragui beliau, terutama kerana beliau adalah menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, sehingga kini defendan didakwa telah mengingkari perjanjian dan gagal membayar semula atau memulangkan wang tersebut, menyebabkan plaintif mengalami kerugian.