Berita Semasa

Jemputan pensyarah warga asing pro-Zionis wajar dipersoal

PUTRAJAYA – Kerajaan mengiktiraf dan mengangkat kebebasan akademik di negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sebaliknya kata beliau, tindakan menjemput pensyarah warga asing yang sememangnya terkenal dengan kontroversi itu layak dipersoalkan kerana telah mencetuskan kesan negatif dan memburukkan imej Malaysia.

“Saya tidak mahu mengatakan perlu rujuk (kepada KPT), ini soal kebebasan di universiti dan kita perlu hormati tetapi paling penting kalau kita nak jemput sesiapa, perlu periksa latar belakang, apa kepakaran, dalam bidang apa, adakah benar-benar sarjana yang dihormati.

“Jika anda lihat latar belakang individu ini, beberapa penulisannya, dalam konteks kolonialisme dan imperialisme, anda boleh lihat, semua orang mempertikaikan dia.

“Jadi kenapa boleh benarkan individu ini untuk datang dan mengajar kita sedangkan kita ada ramai pensyarah yang lebih baik dan bagus di Malaysia,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Anjung KPT yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perlancongan, Seni dan Budaya, Tiong Sing King.

Dalam pada itu, beliau dan pihaknya tidak merancang untuk mengenakan tindakan lanjut pada pensyarah terbabit kerana sudah pun keluar dari negara.

Pada masa ini, beliau sedang menunggu butiran lanjut Universiti Malaya (UM) berkaitan kes tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang penceramah warga asing yang dipercayai menyebarkan naratif pro-Zionis dalam ceramahnya di UM.

Show More

Related Articles

Back to top button