Kerja pengalihan bangkai, serpihan helikopter selesai
LUMUT – Bangkai dan serpihan dua buah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam nahas di sini Selasa lalu sudah dipindahkan dari lokasi kejadian.
Laporan portal Sinar yang memetik sumber menyebut, proses mengalihkan bangkai helikopter AW-139 HOM dan A555 Fennec itu dimulakan pada pukul 10 pagi tadi, dan selesai pada kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Difahamkan, proses pengalihan bermula dengan mengeluarkan serpihan pesawat Fennec di kolam renang Kompleks Sukan TLDM diikuti kerja-kerja mengalihkan bangkai pesawat AW139 yang terhempas di Stadium TLDM.
Laporan tersebut turut menyebut, kedua-dua bangkai pesawat itu ditempatkan di satu lokasi dalam Pangkalan TLDM Lumut bagi memudahkan proses siasatan dijalankan.
Katanya, pasukan penyiasat yang ditubuhkan TLDM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menjalankan siasatan di lokasi kejadian sejak hari pertama nahas berlaku.
“Sepertimana dalam kenyataan sebelum ini, proses siasatan akan mengambil masa.
“Pasukan penyiasat mahu bangkai pesawat dikekalkan dalam pangkalan untuk memudahkan pemeriksaan kerana berdasarkan dapatan siasatan nanti, kemungkinan ada cross check (semak silang) atau simulasi-simulasi yang perlu dijalankan ke atas pesawat,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa laporan interim nahas dua helikopter TLDM yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya akan siap dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh pula disiapkan dalam tempoh 30 hari.