
Libat urus RUU 355 kini di peringkat akhir -Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Sesi libat urus bagi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) sebagaimana dirangka sebelum ini kini di peringkat akhir dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses libat urus dengan pihak berkepentingan berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 telah dilakukan.
“Alhamdulillah setakat ini sesi libat urus yang dilakukan Bahagian Undang-Undang JAKIM telah berjalan.
“Semua pemegang taruh di peringkat negeri-negeri (majlis agama Islam), mahkamah syariah negeri-negeri, dan juga jabatan agama Islam negeri-negeri telah dijemput untuk menghadiri sesi libat urus tersebut.
“Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff bahawa sesi libat urus berkenaan kini di peringkat akhir,” katanya selepas ditanya mengenai status terkini tindakan kerajaan meminda akta tersebut.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Karnival MAIWP 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, laporan mengenai perbincangan itu masih belum diserahkan kepada beliau.
Ditanya sekiranya pindaan itu akan dibentangkan pada tahun ini , Dr Mohd Naim berkata perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri.
“Seperti mana semua sedia maklum, kita akan bawa semua cadangan undang-undang 355 ini kepada Kabinet yang baru untuk mendapat keputusan dasar sebelum di bawa ke Parlimen.
RUU 355 diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober tahun lalu dan sepatutnya dibentangkan pada sidang Parlimen hujung bulan tersebut. Bagaimanapun, proses itu terbantut akibat pembubaran Parlimen.
Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 adalah sebahagian daripada usaha ke arah memartabatkan mahkamah syariah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |