Maritim Malaysia tahan bot penumpang beroperasi luar zon maritim
MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot penumpang di kedudukan hampir empat batu nautika barat Pulau Aur pada pukul 2.30 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pasukan bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot penumpang yang dikendalikan oleh dua warga tempatan berumur 35 dan 50 tahun ketika melakukan rondaan rutin Ops Jaksa, Ops Tiris dan Ops Khas Pagar Laut di perairan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot penumpang tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di luar had yang dibenarkan.
“Bot penumpang itu telah ditahan dan dibawa ke Jeti Awam Mersing sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah peraturan Bot 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaizan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Mersing.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.