Berita Semasa

Tipu bida, 8 kontraktor berdepan penalti kewangan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap lapan kontraktor atas pelanggaran seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (CA 2010) kerana terlibat di dalam aktiviti tipuan bida pada tahun 2019.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, penipuan itu melibatkan dua tender dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan satu tender dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) beranggaran RM473 juta untuk kerja-kerja pembinaan jalan dan sistem tebatan banjir.

Menurutnya lagi, siasatan pada peringkat Keputusan Cadangan mendapati bahawa perusahaan-perusahaan itu telah berpakat melakukan aktiviti tipuan bida melalui perkongsian maklumat serta koordinasi dalam penyertaan tender tersebut.

“Enam perusahaan termasuk Dutamesra Bina Sdn. Bhd., IDX Multi Resources Sdn. Bhd., Mangkubumi Sdn. Bhd., Menang Idaman Sdn. Bhd., Meranti Budiman Sdn. Bhd. dan Pintas Utama Sdn. Bhd. telah berpakat dalam kesemua tiga tender tersebut.

“Manakala, NYL Corporation Sdn. Bhd. terlibat di dalam kedua-dua tender JKR dan Kiara Kilat Sdn. Bhd. hanya terlibat dalam salah satu dari dua tender JKR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, perusahaan-perusahaan terbabit diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan yang telah disampaikan semalam.

Perusahaan-perusahaan terbabit juga boleh memilih untuk membentangkan representasi lisan kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Setakat ini, perusahaan-perusahaan berkenaan telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan.

“Perlu ditekankan di sini bahawa penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini.

“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhirnya selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan bersama-sama bukti yang diperolehi daripada penyiasatan berkaitan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button