UCrest lancar produk pemeriksaan mata guna teknologi AI
PETALING JAYA – UCrest Berhad (UCrest) hari ini telah melancarkan iMedic Optics iaitu produk pemeriksaan dan diagnosis kesihatan mata.
Ia merupakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mendiagnosis beberapa penyakit mata termasuk age-related macular degeneration (AMD), glaukoma dan retinopati diabetik (DR) menerusi imej retina yang dimuat naik daripada kamera fundus.
Pengerusi dan Pengasas UCrest, Eg Kah Yee berkata, produk tersebut berupaya untuk mengesan awal penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan buta itu dengan ketepatan tinggi menggunakan metodologi dan algoritma “patent pending proprietary”.
“Kehilangan penglihatan dan buta bukan sahaja menyebabkan kemerosotan kualiti hidup yang serius, malah ia juga membebankan ahli keluarga dan masyarakat.
“iMedic Optics akan membolehkan semua klinik perubatan am swasta (GP), kedai optik dan hospital menjadikan pemeriksaan kesihatan mata meluas dan berpatutan, membolehkan kami membantu membina komuniti yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut berkata produk berkenaan dapat mengatasi masalah pemeriksaan kesihatan mata yang dikatakan sering diabaikan secara amnya.
“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kos dan akses kepada bilangan pakar oftalmologi yang terhad.
“Dengan iMedic Optics tersedia untuk pakar optometris, klinik GP, pakar oftalmologi dan hospital, ia mampu menyelesaikan kos mampu milik dan kebolehcapaian,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata produk berkenaan dilancarkan serentak di Asia dan pasaran Amerika Syarikat (AS)
“Terdapat minat yang kuat dalam pengenalan prapelancaran kami kepada bakal pelanggan terpilih bukan sahaja di Asia tetapi juga pasaran AS.
“Ini kerana teknologi kami mampu menyampaikan ketepatan yang diperlukan secara konsisten dengan menyepadukan imej retina dengan data daripada iMedic EMR,” tambah beliau.