Berita Semasa

FINAS taja lebih RM100,000 bantu penggiat seni carum PERKESO

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kebajikan penggiat seni tempatan.

Menurut FINAS, kerjasama MoU itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi (KK) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menyediakan faedah dari segi keselamatan dan kesihatan semasa bekerja kepada 4,500 penggiat seni tempatan.

“MoU ini merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, sebanyak 90 peratus daripada nilai caruman tahunan yang berjumlah RM232.80 seorang akan ditanggung oleh kerajaan, sementara baki 10 peratus akan ditanggung oleh FINAS menjadikan tajaan sejumlah RM104,850 kepada penggiat seni.

Dalam pada itu, kerjasama antara FINAS dan PERKESO turut melibatkan aktiviti promosi, penggalakan pendaftaran, perkongsian data dan pemudahcaraan proses pendaftaran bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di kalangan individu terlibat dalam bidang perfileman.

Katanya, MoU itu merupakan langkah progresif kerajaan dalam memastikan keselamatan sosial yang lebih baik bagi penggiat seni negara serta menjanjikan jaminan keselamatan sosial kepada sektor tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button