Pelajar sekolah meninggal dunia ketika sertai acara rentas desa
KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun rebah dan meninggal dunia semasa merentas desa di sebuah sekolah menengah di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku pada pukul 8 pagi ketika pelajar bernama Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, hampir tiba di garisan penamat dalam acara larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer di sekolahnya.
“Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer.
“Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, guru yang berada di tempat kejadian segera memberikan bantuan pernafasan kepada pelajar tersebut namun tiada sebarang respon yang diperolehi.
“Pihak sekolah segera menghubungi talian kecemasan 999 dan pelajar tersebut kemudian dibawa dengan ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ambulan tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan selepas hampir sejam memberikan bantuan, pelajar tersebut telah disahkan meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, menurut bapa Allahyarham, Nuqman Naufal diketahui menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016 dan menerima rawatan serta ubat-ubatan dari Institut Jantung Negara (IJN).
“Kes ini kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dalam proses,” ujarnya lagi.