Berita Semasa

UMNO Kedah, Terengganu sokong tindakan Zahid Hamidi fail afidavit tambahan sokong Najib

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah dan Terengganu menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tampil memfailkan afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kewujudan Titah Adendum berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.

Kedua-dua pihak berkenaan berharap agar proses perundangan terbaharu diambil oleh Najib yang disokong oleh afidavit Ahmad Zahid dapat berjalan sesuai dengan lunas-lunas perundangan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, afidavit tambahan yang dibuat Ahmad Zahid atas nama Timbalan Perdana Menteri itu telah membuktikan dua perkara penting.

“Pertama, ia menjadi manifestasi usaha pembelaan terhadap Datuk Seri Najib oleh Datuk Seri Zahid yang melaksanakan amanah parti UMNO yang mahukan usaha pembelaan diteruskan buat bekas presiden parti.

“Keduanya, ia adalah pembuktian Timbalan Perdana Menteri sebenarnya memuliakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyebut mengenai ‘tahanan rumah’ kepada Datuk Seri Najib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mahdzir lagi, UMNO Kedah menjunjung kasih atas Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang menurut afidavit tambahan itu sebagai Titah Prerogatif Diraja sama seperti titah utama dalam proses pengampunan yang dipohon oleh Najib.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat menggesa agar semua pihak bertenang dan menerima proses yang dibenarkan di bawah kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong seperti mana pengampunan yang pernah diberikan kepada individu-individu lain sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu berfungsi supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Show More

Related Articles

Back to top button