Bisnes & Ekonomi

Wayout Solution taja 100 pakaian raya anak yatim

KOTA BHARU – Sebagai menghargai golongan kurang bernasib baik, Wayout Solution Sdn. Bhd. pada tahun ini meneruskan program berkongsi rezeki melalui kerjasama dengan syarikat tekstil popular, Jakel.

Pada tahun ini, seramai 100 anak yatim menerima sumbangan baju raya menerusi Infaq Mahabbah Riang Raya yang memberi peluang kepada penerima memilih sendiri koleksi pakaian keluaran Jakel.

Pengarah Wayout Solution, Daniel Sharifuddin berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk ‘berkongsi semula’ dengan masyarakat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.

Katanya, sumbangan tersebut juga adalah simbolik keprihatinan syarikat kepada komuniti setempat dalam memastikan tiada yang terpinggir dalam kegembiraan meraikan Aidilfitri.

Kakitangan Wayout Solution menaja sebahagian daripada anak yatim berbelanja pakaian raya di Kota Bharu, Kelantan.

“Kami harap usaha ini sedikit sebanyak dapat menghadirkan sinar kebahagiaan kepada setiap penerima. Itulah yang menjadi pembakar semangat kami untuk menganjurkan program berkonsepkan kebajikan seperti ini.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Jakel, masjid, surau dan NGO serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Insya Allah, inisiatif ini akan diluaskan lagi di masa akan datang bagi memastikan lebih ramai kelompok masyarakat dapat dibantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Infaq Mahabbah Riang Raya turut menampilkan dua slot menarik iaitu Upin Ipin serta Didi and Friends, yang mana setiap slot disertakan dengan pemberian sumbangan khas seperti songkok, samping tradisional, kurma, beg sekolah dan bermacam-macam lagi kepada penerima.

Show More

Related Articles

Back to top button