INSKEN sasar latih 10,000 usahawan tahun ini
CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyasarkan peningkatan kepada 10,000 usahawan yang dilatih dan dibimbing tahun ini, berbanding 9,700 pada tahun lepas melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, melalui program latihan dan bimbingan INSKEN itu pada tahun lepas, sekitar 9,700 usahawan dari seluruh negara menunjukkan prestasi cemerlang setelah mengikuti program bimbingan dan latihan tersebut.
“Ada yang mencapai peningkatan sehingga 75 peratus nilai jualan selepas bimbingan INSKEN menunjukkan INSKEN adalah agensi bimbingan keusahawanan yang sangat penting di negara ini dan kementerian akan terus menyokong dan berusaha memberi yang terbaik kepada usahawan-usahawan kita melalui INSKEN ini,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka INSKEN bersama ahli-ahli dan alumni INSKEN.
Katanya, tahun ini kementerian akan menganjurkan lebih banyak program bimbingan dan latihan kepada usahawan-usahawan melalui agensi-agensi.
“Kita akan mengadakan Karnival Usahawan dan Koperasi di Sabah pada 11 dan 12 Mei 2024 ini.
“Kita juga akan tetap meneruskan program perusahaan kecil dan sederhana di negeri-negeri lain. Sambutan Hari Perusahaan Perniagaan Kecil, Bulan Koperasi Kebangsaan, Minggu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana, Hari Franchise, Hari Sosio Peniaga dan banyak lagi yang telah dijadualkan sepanjang tahun ini,” katanya.