Berita Semasa

Tangguh dahulu perjalanan ke Iran, negara berdekatan – TPM

KUCHING – Rakyat Malaysia diminta menangguhkan perjalanan ke Iran dan negara berdekatan susulan serangan Iran ke atas rejim zionis Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Wisma Putra sentiasa memerhatikan perkembangan insiden ini dari masa ke masa dan sekiranya perlu, akan mengambil tindakan untuk membawa keluar rakyat kita daripada mana-mana tempat yang berisiko berlaku serangan.

“Rakyat Malaysia juga harus peka dengan situasi di rantau itu dan elakkan dahulu (perjalanan) ke tempat berisiko tinggi khususnya Iran serta negara berdekatan yang ada hubung kait.

“Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat kita di mana sahaja mereka berada sama ada di Iran atau negara berdekatan,” kata Fadillah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazruddin Abdul Rahman, di Hikmah Exchange, di sini hari ini.

Mengenai rakyat Malaysia yang akan menunaikan umrah dan fardu haji, beliau berkata mereka harus mengikuti nasihat daripada Wisma Putra sama ada boleh pergi atau sebaliknya.

Selain itu katanya, bakal jemaah umrah dan haji perlu mengikuti perkembangan semasa di Asia Barat.

Awal pagi tadi (waktu Malaysia), Iran dan sekutunya difahamkan melancarkan sebanyak 185 dron bunuh diri, 110 peluru berpandu balistik, dan 36 peluru berpandu krus (LACM) ke atas beberapa sasaran di Israel.

Serangan tersebut adalah sebagai tindakbalas terhadap serangan rejim zionis ke atas konsulatnya di Damascus, Syria minggu lepas yang mengorbankan tiga pegawai kanan tenteranya.

Show More

Related Articles

Back to top button