AIM peruntuk RM50 juta untuk usahawanita India
KUALA LUMPUR – Bagi memajukan dan memperkasakan lagi wanita India, sebanyak RM50 juta dana khas diperuntukan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk Sahabat Usahawan Wanita berbangsa India.
AIM dalam satu kenyataan hari ini berkata,
dengan peruntukan tersebut, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Sahabat Usahawan berbangsa India adalah sebanyak RM71.4 juta yang mana RM21 juta telah dikeluarkan bermula Januari lalu.
“Peruntukan dana khas tambahan ini akan disalurkan melalui Program Khas iaitu P.E.N.N (Prosperity, Empowerment and A New Normal) seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
“Pendekatan ini merupakan satu lagi usaha untuk “memperkasakan” usahawan wanita India menuju ke satu tahap yang lebih baik lagi. Usaha pemerkasaan ini merupakan satu lagi proses ‘nilai tambah’ untuk memajukan diri mereka,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan mengumumkan dana khas tersebut pada sidang media di ibu pejabat AIM, Bandar Sri Damanasara hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz serta hampir 100 Sahabat Usahawan berbangsa India.
Mengulas lanjut, AIM berkata, peruntukan berjumlah RM50 juta daripada dana dalaman AIM ini, dijangka akan memberi manfaat kepada 7,100 Sahabat Usahawan India baharu dan juga kepada 3,100 Sahabat Usahawan India sedia ada.
la menjadikan jumlah keseluruhan yang mendapat manfaat melalui peruntukan dana khas ini ialah seramai 10,200 orang Sahabat Usahawan.
“Peruntukan Dana Khas yang boleh dipohon sehingga RM30,000 ini, dibuka bermula 15 April 2024 di 124 Cawangan AIM di seluruh negara. ‘Syarat utama mereka yang layak, mestilah warganagera Malaysia, berbangsa India dan Wanita sahaja’, kata Datuk Ramanan.
“Pengumuman ini secara tidak langsung merupakan berita gembira buat Sahabat Usahawan berbangsa India yang akan meraikan sambutan Tahun Baharu Tamil pada 14 April ini,” ujarnya lagi.
Setakat hari ini, AIM mencatatkan jumlah Sahabat berbangsa India seramai 3,100 dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM330.20 juta.
Untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun yang lalu, telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam, sekali gus telah mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah dari kepompong kemiskinan.
Bagi tahun ini pula, sebanyak RM2.61 bilion diperuntukan untuk pembiayaan dengan jumlah Sahabat Usahawan seramai 317,339 orang.