Automatif & TeknologiBerita Semasa

PM sempurnakan demonstrasi MHRU dan kenderaan berkuasa hidrogen 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini telah menyempurnakan sesi demonstrasi penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (MHRU) dan kenderaan berkuasa hidrogen iaitu Toyota Mirai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata MOSTI telah mengorak langkah awal melalui kerjasama dengan UMW Toyota Motor Sdn Bhd dalam mengetengahkan potensi mobiliti hidrogen, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Katanya, ia susulan kepada pemeteraian Dokumen Kerjasama Projek Mobile Hydrogen Refueling Station (MHRS) di antara rakan industri tempatan dengan sokongan MOSTI sempena World Renewable Energy Congress (WREC) pada Julai tahun lalu.

Menurut Lih Kang, MHRS dijadualkan akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini.

“Majlis hari ini diadakan untuk memberi pendedahan awal kepada para pemegang taruh, terutamanya dalam ekosistem teknologi peralihan tenaga dan hidrogen, serta masyarakat berkenaan mobiliti hidrogen melalui penggunaan MHRU.

“MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil dan Ia juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.

“Usaha ini sejajar dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dalam usaha memacu teknologi ke arah transisi tenaga lebih bersih berasaskan hidrogen,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenderaan yang digunakan ialah Toyota Mirai, iaitu kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, dengan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dalam pembangunan sosioekonomi negara terutamanya rukun kemampanan dan daya cipta, pelaksanaan MHRU dan MHRS adalah sebahagian daripada pelan tindakan yang telah direncanakan melalui HETR.

Jelas beliau, ia adalah bagi pembangunan kapasiti dan pelaburan modal insan di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen, khususnya mobilit rendah karbon.

“Usaha ini juga adalah selaras dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) dan aspirasi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB),” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button