KK Mart dibakar: Saifuddin seru pihak boikot tenteramkan keadaan
KUALA LUMPUR – Orang ramai diberi amaran supaya tidak bertindak keterlaluan dengan menceroboh dan membakar premis KK Mart sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun tindakan memboikot sesuatu jenama bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis berkenaan.
“Perbuatan ini boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai.
“Saya mengajak mereka yang mendoro pemboikotan ini ikut mengambil tanggungjawab meredakan dan hentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.
“Beri ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mengesan, menangkap dan menyiasat individu yang terlibat. Biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu kedai KK Mart di Sungai Isap Kuantan, Pahang dibaling bola api pada jam 5 pagi tadi.
Kejadian itu merupakan insiden kedua selepas yang pertama berlaku di KK Mart Bidor Perak pada 26 Mac lalu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, polis juga akan mengerah seluruh kekuatan untuk mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini.
Beliau berkata, kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu.