Berita Semasa

Hina Islam, Sultan Selangor: MAIM buat laporan polis

PUTRAJAYA – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa telah menghina Islam dan memainkan sentimen perkauman dalam sebuah video di media sosial.

Pengerusi MAIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, walaupun pelaku tersebut didakwa berada di luar negara, MAIM tetap bertanggungjawab untuk melaporkan insiden tersebut sebagai usaha memelihara kesucian Islam dan memastikan keharmonian di negara ini terpelihara.

“Dengan mencaci maki nabi Muhammad, Sultan Selangor, mufti-mufti, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ia sewajarnya dikenakan hukuman bagi mengelak insiden ini berulang,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ujarnya, semua pihak perlu belajar daripada tragedi rusuhan kaum dalam dan luar negara yang disebabkan oleh sentimen agama dan perkauman.

Dalam pada itu katanya, MAIM yang merupakan gabungan antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan badan-badan Islam lainnya memberikan komitmen mereka untuk mempromosikan keharmonian antara agama melalui pelbagai pendekatan akademik dan aktiviti sosial.

Baru-baru ini tular video seorang individu yang kini tinggal di luar negara memainkan sentimen 3R dengan menghina sultan, agama Islam dan kaum.

Individu berkenaan N Ganesparan mendakwa PDRM pantas mengambil tindakan terhadap rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka.

Dalam siasatan awal didapati lelaki itu kini dipercayai berada di Hamburg, Jerman selepas kali terakhir keluar pada 2 November 2017.

Show More

Related Articles

Back to top button