Berita Semasa

Treler terbalik, laluan ke Terowong Menora ditutup sementara

IPOH – Semua lorong ke arah utara di Lebuh Raya Utara-Selatan dari laluan Ipoh ke Terowong Menora masih ditutup bagi kerja-kerja pengalihan sebuah treler muatan serbuk besi yang terbalik dan merintangi jalan.

Penutupan itu juga dibuat bagi kerja-kerja pembersihan yang disebabkan kemalangan di Kilometer (KM) 262.9 arah utara.

Setakat pukul 10.36 pagi tadi, Plustrafik dalam ciapannya di aplikasi X memaklumkan, laluan kontra diaktifkan di laluan KM262.65 hingga KM263.75.

“Semua lorong arah utara terhalang. Kerja pengalihan & pembersihan sedang dijalankan.Laluan kontra diaktifkan di Km 262.65 – Km 263.75. Trafik perlahan arah kedua-dua arah. Pandu berhati – hati,” kata ciapan tersebut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat treler terbalik dengan muatan merintangi jalan itu diterima pada pukul 6.53 pagi tadi.

Katanya, kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

“Tiada mangsa tersepit, setakat ini operasi pembersihan sedang dijalankan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button