Berita Semasa

Rekrut ahli luar Terengganu antara langkah cubaan hidupkan ajaran Ayah Pin

KUALA TERENGGANU – Cubaan menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin turut melibatkan pengambilan ahli baharu dari luar Terengganu.

Laporan portal Sinar Harian menyebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor sebagai berkata, hasil risikan mendapati ajaran itu kini mula dikembangkan di luar kawasan asalnya yang bermula di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

“Selepas kematian pengasas ajaran ini pada 2016, agak lama kumpulan ini menyepi dan kebelakangan ini wujud gerakan oleh pengikutnya yang mula cuba hidupkan kembali gerakan atau perjuangan Ayah Pin.

“Memang kita tidak nafikan terdapat dalam kalangan penyokong ajaran ini yang masih tegar dan berusaha untuk kembangkan kembali ajaran berkenaan.

“Hasil risikan bersama pihak keselamatan mendapati ajaran ini mula dikembangkan di luar Kampung Batu 13 iaitu merebak sehingga ke kawasan Jertih (Besut) dan juga di sebelah Pahang iaitu di Pekan dan Rompin,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pejabat Agama Daerah Besut telah mengambil langkah mengeluarkan pewartaan bagi memaklumkan mengenai penularan kembali ajaran sesat itu.

“Pada Jumaat lalu telah dibacakan pewartaan daripada pejabat Agama Daerah Besut bahawa ajaran tersebut semakin menular dan seluruh warga Besut perlu memastikan ahli keluarga atau kelompok kampung mereka tidak terlibat dengan ajaran Ayah Pin yang telah diwartakan sesat pada 1997,” kata Dr Riduan.

Beliau kemudiannya menambah, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dengan ajaran itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut.

Untuk rekod, sekitar tahun 2006 terdapat kira-kira 3,000 pengikut Ayah Pin di seluruh negara termasuk dari Pahang, Perak, Johor dan Lembah Klang.

Fahaman yang diwarisi pengasasnya, Ariffin Muhamad, 74, pada ketika itu turut merekrut kelompok artis-artis termasuk anak seni dan model malah terdapat dalam kalangan pemimpin rakyat yang turut terpesong.

Show More

Related Articles

Back to top button