Berita Semasa

Hampir RM5.4 bilion dibelanjakan di bazar Ramadan tahun lepas

Nasihat TPM, bersederhana dan elakkan pembaziran

TANAH MERAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam supaya bersederhana dan mengelakkan pembaziran ketika berbelanja di bulan puasa.

Beliau berkata, kajian Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi (MUST) mendapati, 22 juta umat Islam di Malaysia membelanjakan hampir RM5.4 bilion di bazar Ramadan di seluruh negara pada tahun lepas.

“Jumlah itu disifatkan sangat tinggi memandangkan ianya hanya membabitkan tempoh sebulan sahaja.

“Berbelanja itu pastinya boleh tapi sentiasa ingat, jangan kita membazir dan ia bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam bersederhana,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Mukim Batang Merbau, di sini semalam.

“Puasa, puasa juga tetapi jangan sampai berlakunya pembaziran serta berbelanja melebihi keperluan dan mengikut nafsu semata-mata,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati umat Islam supaya bulan Ramadan dijadikan tempoh latihan untuk mendisiplinkan diri dengan berkongsi rasa kesusahan terhadap golongan yang memerlukan dan menyemai sikap berjimat cermat.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan sumbangan berjumlah RM293,300 untuk 475 masjid dan madrasah di kawasan Kesedar bagi mengimarahkan institusi itu.

Show More

Related Articles

Back to top button