
Pameran Raja Kita: Koleksi peribadi Agong, Permaisuri antara 272 koleksi menarik dipamerkan
PETALING JAYA – Sebanyak 272 koleksi menarik akan dipamerkan pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara bermula esok hingga 29 September ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, antara item menarik yang bakal dipamerkan termasuklah koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah.
Jelas Aaron, pameran itu adalah sebagai inisiatif untuk mengangkat institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan konsep Raja berperlembagaan agar ia terus terpelihara.
“Ini akan membolehkan rakyat menghayati institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian baginda Tuanku sekali gus menyemarakkan lagi slogan raja dan rakyat berpisah tiada.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum pada Majlis Perasmian Pameran Raja Kita di Muzium Negara, di sini, hari ini.
Pameran khas itu dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Menteri Perpaduan berkata, Pameran Raja Kita anjuran Jabatan Muzium Malaysia diadakan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak Julai 1980.
Selain itu, antara item lain akan dipamerkan adalah koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Diraja Abu Bakar Johor serta koleksi daripada agensi seperti Arkib Negara dan Perpustakaan Negara yang berupa dokumen perjanjian dan manuskrip.
“Elemen utama diketengahkan dalam pameran ini ialah berkaitan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Undang-undang ini telah ditandatangani dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 Sept 1895 di Istana Besar Johor.
“Sejarah telah membuktikan bahawa Johor adalah kerajaan pertama yang menggunakan Undang-undang Tubuh yang bertulis dan masih diguna pakai oleh kerajaan Johor hingga kini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |