KPT beri tumpuan baik pulih kemudahan usang
NILAI – Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan pihaknya akan memberikan tumpuan kepada usaha membaik pulih kemudahan di kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang usang dan sudah lama tidak dinaik taraf.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementeriannya menerima laporan terdapat institusi pengajian di negara ini yang sudah lebih 20 tahun tidak dinaik taraf menyebabkan pelajar terpaksa menjalani kehidupan asrama dalam serba kekurangan.
“Baru-baru ini saya telah melawat satu kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Sarawak dan telah dimaklumkan oleh pihak kepimpinan pelajar mengenai keadaan daif asrama mereka.
“Kita akan berikan keutamaan untuk baik pulih tempat penginapan pelajar kerana ada tempat yang langsung tidak dibaik pulih lebih 20 tahun dengan keadaan asrama yang usang dan sebagainya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini, hari ini.
Dr Zambry berkata, perkara seumpama itu tidak sepatutnya dibiarkan oleh pentadbir atau wakil pelajar dan sepatutnya dilaporkan melalui saluran yang betul.
“Menjadi tanggungjawab universiti, politeknik dan kolej untuk sampaikan maklumat ini, malah saya juga telah mengarahkan pihak berkenaan untuk memberikan keutamaan kepada aspek ini.
“Jangan kita tidak menjadikannya sebagai suatu keutamaan kerana ia membabitkan kepentingan pelajar, jika mereka tidak dapat melalui suasana persekitaran yang selesa di kampus,” katanya.
Mengulas mengenai isu bekalan air di kampus IPTA, Zambry berkata, sebelum ini ia banyak berlaku di Sabah, selain di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, namun kerajaan negeri telah menggantikan paip yang lebih besar.
“Pihak universiti telah diminta membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang masalah yang bakal dihadapi oleh pelajar seperti mana berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebelum ini.
“Kita perlu melihat perkara-perkara ini sebagai keutamaan untuk diambil tindakan, sebagai contoh air yang memerlukan tindakan segera kerana ia membabitkan survival pelajar.
“Sekiranya ia tidak dijadikan keutamaan sedangkan kita tahu masalah itu ada di situ, akhirnya ia akan terbiar. Kita perlu ambil langkah luar daripada kebiasaan,” katanya.