Berita Semasa

TalentCorp dilantik badan pemikir strategik Kementerian Sumber Manusia

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memberikan mandat kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sebagai badan pemikir strategik kementerian itu.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kepercayaan diberikan kepada TalentCorp selaku agensi Kesuma untuk merancang strategi bagi pembangunan dasar, advokasi dan perancangan masa depan kementerian itu.

Beliau berkata, mandat baharu itu akan menjadi elemen tambahan seiring dengan fungsi utama TalentCorp  tanpa melibatkan peruntukan tambahan.

“Kita berada dalam dunia yang semakin berpecah-belah dengan pasaran yang semakin mengecil. Sebagai pembuat dasar, kita perlu memahami landskap global, supaya kita kekal relevan dan kreatif untuk memanfaatkan peluang jangka pendek dan meletakkan asas untuk penyelesaian jangka panjang dan mampan.”

“Saya melihat TalentCorp memainkan peranan penting selaku badan pemikir Kesuma yang berkerjasama dengan jabatan dan agensi kementerian untuk menangani cabaran yang semakin berkembang dalam tenaga kerja di Malaysia.

“TalentCorp berada dalam kedudukan yang unik dalam memainkan peranan tersebut melalui pelbagai program yang dikhususkan untuk bakat tempatan dan global serta menjalinkan kerjasama rentas kementerian, agensi, industri dan akademia,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Steven mengumumkan perkara tersebut di depan pengurusan tertinggi Kesuma, 15 peneraju industri dan 13 wakil dari lembaga latihan negeri dalam mesyuarat pertama Future Skills Talent Council TalentCorp (FSTC) bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang diadakan pada 6 Mac lalu di Georgetown, Pulau Pinang.

Jelasnya, FSTC merupakan inisiatif yang dipacu industri yang mana ahli majlis FSTC dipertanggungjawab mengenal pasti kemahiran serta bentuk latihan yang diperlukan sektor mereka.

“Ahli FSTC E&E terdiri daripada para pemimpin industri termasuklah daripada Jabil Circuits, Flextronics Technology, Micron Memory Malaysia, Motorola Solutions, Denso Malaysia dan Bosch Rexroth.

“Dalam mesyuarat sulung itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inari Amertron Berhad, Lau Kean Cheong dipilih sebagai Pengerusi pertama FSTC E&E,” katanya.

Pada majlis yang sama, Steven mengarahkan TalentCorp menghasilkan laporan mengenai impak kecerdasan buatan, digitalisasi dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja dan landskap kerja Malaysia sebagai ‘tugasan’ pertama mereka.

Katanya, kajian akan dijadikan rujukan kepada penggubal dasar malahan dalam kalangan pemain industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana dalam penyediaan tenaga kerja masa hadapan.

TalentCorp yang ditubuhkan pada 2011 adalah agensi pemacu strategik modal insan negara.

 

Show More

Related Articles

Back to top button