Dua cedera tercampak dari ‘sotong ride’
KOTA KINABALU – Dua individu cedera selepas dipercayai tercampak dari alat permainan dalam satu pesta ria berhampiran Stadium Likas, di sini malam tadi.
Kedua-dua mangsa berkenaan, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, mengalami kecederaan dalam kejadian yang melibatkan permainan ‘sotong ride’ yang sedang bergerak, lapor portal BH Online.
Beberapa video dan gambar di lokasi kejadian turut menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.58 malam.
Berikutan itu, sepasukan anggota termasuk pegawai bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diarah ke lokasi kejadian.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat pada pukul 9.40 malam,” katanya lagi.