Berita Semasa

Golongan petani, penternak, nelayan terjejas banjir boleh mohon bantuan – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan yang terjejas dengan bencana banjir di utara Semenanjung, baru-baru ini boleh memohon pelbagai jenis bantuan bagi meringankan beban mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara bantuan yang boleh dipohon termasuk bantuan pasca bencana melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan selain tanaman padi.

“Pada masa yang sama, pihak AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada para pelanggannya yang terjejas akibat banjir.

“Individu yang terlibat boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan berkenaan di cawangan AgroBank yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Mohamad berkata, berdasarkan laporan awal, seluas 5,822.59 hektar tanaman padi telah ditenggelami banjir dan anggaran nilai kerugian hasil padi adalah sebanyak RM32 juta.

“Sehubungan itu, Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku,” katanya lagi.

Jelas Mohamad, sejak kejadian banjir berlaku di utara Semenanjung pada 18 September lalu, pihak kementerian telah menggerakkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri serta pengaktifan Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat pusat, negeri dan daerah.

“KPKM juga telah mengarahkan KPKM Inc. mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir di peringkat Daerah dan Negeri sentiasa dikemaskini dan disampaikan kepada kumpulan sasar terutamanya bagi kawasan-kawasan yang berisiko mengalami bencana.

“KPKM turut bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran dari pihak NADMA,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button