Berita Semasa

8 Amanat Besar PM dalam KEB 2024 ‘booster’ sektor koperasi -IKMa

PUTRAJAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yakin ‘8 Amanat Besar’ yang ilhamkan oleh Perdana Menteri pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) baru-baru ini bakal memberi pelbagai manfaat kepada pembangunan koperasi negara.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, idea komprehensif yang diaspirasikan melalui falsafah Ekonomi Madani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertepatan dengan apa yang diperlukan oleh eko sistem koperasi ketika ini.

Justeru beliau menyarankan apa juga program yang dilaksanakan daripada kongres itu wajar mengambil kira penglibatan sektor koperasi negara yang bertunjangkan sosio ekonomi Bumiputera selain faktor demografinya yang meliputi Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

“Penglibatan sektor koperasi yang memayungi usahawan sektor informal harus diambil kira dalam blueprint yang akan dirangka hasil resolusi KEB 2024.

“Sudah sampai masanya sektor koperasi mengkaji secara strategik peluang dan ruang yang boleh dicapai dari pelbagai pelan dan insentif yang diutarakan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yahya berkata, iltizam dan komitmen Perdana Menteri dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera terserlah dengan pengumuman beberapa suntikan dana.

Antaranya Peruntukan Generasi Baharu Usahawan Bumiputera berjumlah RM1 bilion, dan RM 1 bilion untuk Dana Mikro Kredit dan RM100 juta dana Pembangunan Usahawan Vendor.

Dalam menjayakan usaha itu katanya, IKMa mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku jurutera utama dalam transformasi ekonomi koperasi.

“Melalui penglibatan pelbagai jabatan dan agensi di bawah KUSKOP, kami berharap idea-idea baharu dapat disuntik untuk melahirkan lebih ramai usahawan

“IKMa juga akan menganjurkan program ‘Jelajah Koperasi Madani’ dalam mendapatkan maklum balas dari akar umbi tentang bagaimana sektor koperasi dapat diterangkum dalam falsafah Ekonomi Madani,” katanya.

Ketua Cabang Keadilan Tanjong Karang itu berkata, sebagai institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi di negara ini, IKMa menyambut baik hasrat KEB untuk melahirkan 10,000 tenaga kerja melalui TVET.

“Universiti Keusahawanan & Koperasi Malaysia (UKKM) misalnya amat berminat menjadi salah satu daripada pelaksana khususnya dalam sektor Halal TVET,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Halal International Selangor (HIS).

Selain itu , IKMa juga menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk menjadikan poduk kreatif dan kraf tangan tempatan sebagai cenderahati dalam perolehan kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button