Berita Semasa

Malaysia kutuk serangan kejam Israel ke atas rakyat Palestin yang menunggu bantuan

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang menunggu bantuan di Nabulsi, Semenanjung Gaza Khamis lalu.

Kementeria Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak itu bukan sahaja menyalahi undang-undang antarabangsa, tetapi juga pelanggaran terang-terangan terhadap langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 dan Konvensyen Genosid 1948.

“Lebih 100 rakyat Palestin telah terkorban dan sekurang-kurangnya 700 yang lain tercedera susulan daripada serangan tentera Israel pada 29 Februari 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Malaysia sekali lagi menggesa supaya gencatan senjata kekal disegerakan bagi menghentikan pembunuhan rakyat Palestin bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada yang memerlukan di Gaza tanpa sekatan.

“Masyarakat antarabangsa perlu menggesa Israel untuk menghentikan kekejaman dan akur terhadap undang-undang antarabangsa.

“Memandangkan situasi yang semakin meruncing, Malaysia berharap masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawab kemanusiaan, etika dan undang-undang untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih banyak.

“Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan kepada sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button