Berita SemasaPM X

[VIDEO] Lebih 70 peratus syarikat tidak bayar cukai -PM

CYBERJAYA – Jumlah syarikat yang membayar cukai di negara ini masih rendah walaupun kerajaan mengenakan asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibtahim berkata, jumlah syarikat berdaftar yang direkodkan membayar cukai adalah sebanyak 435,000 berbanding 1.5 juta syarikat di negara ini.

“Ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai.

“Malaysia hakikatnya masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus berbanding Singapura (12.6%) dan Thailand 16.4 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Hasil 2024 di Ibupejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Perdana Menteri berkata, LHDN pada tahun lalu berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai berjumlah RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion (4.49%) daripada jumlah kutipan berbanding tahun sebelumnya.

Tambah beliau, sehingga 31 Disember 2023, jumlah pembayar cukai individu pula adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula adalah sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengakui langkah dan inisiatif baharu yang diperkenalkan LHDN berjaya meningkatkan hasil kepada negara.

Antaranya kejayaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang memerima 68,806 kes pengisytiharan sukarela setakat 15 Februari lalu dengan kutipan berjumlah RM610.62 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.

“Bagaimanapun kalau dilihat angka 31 Disember 2023, pembayar cukai individu di Malaysia ini 5.7 juta, masih belum mencapai tahap negara berkembang,” ujar sambil menggesa agensi itu bertindak lebih tegas dalam kutipan hasil negara.

Katanya, peningkatan hasil cukai membolehkan kerajaan menggerakkan inisiatif yang memanfaatkan rakyat termasuk menaikkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memanfaatkan hampir 10 juta rakyat pada tahun ini berbanding kira-kira lapan juta sebelumnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button