Berita Semasa

Pertandingan memasak bubur lambuk anjuran Menara KL dapat sambutan meriah

KUALA LUMPUR – Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, Menara Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk yang meriah.

Acara itu yang berlangsung pada hari ini dan telah menyaksikan penyertaan bersemangat daripada 17 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat tukang masak yang mahir.

Pertandingan tahun ini menampilkan dua kategori iaitu kategori terbuka dan kategori masjid/surau manakala, panel juri pula terdiri daripada chef terkenal, chef selebriti Zaidah Mohd Noor, chef Yang Jamil dan Chef Eksekutif ARAS Restaurant KL Tower, chef Musa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad berkata, tujuan utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk memperkenalkan juadah bubur lambuk sebagai satu masakan tradisional yang perlu dihargai terutamanya kepada generasi muda.

“Kami mahu memastikan ianya tidak
dilupakan dan kekal sebagai sebahagian daripada masakan warisan di tengah-tengah era kemodenan hari ini.

“Acara ini lebih daripada sekadar pertandingan; ia adalah peluang untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa menyelami sejarah tentang kaedah memasak bubur lambuk. Para hadirin berpeluang menikmati pelbagai resipi menarik yang disediakan oleh tukang masak,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Menara Kuala Lumpur telah menjemput anak-anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

Majlis tersebut turut menyerahkan sedikit sumbangan kewangan daripada Menara Kuala Lumpur kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

Sumbangan CSR tidak terhenti di situ, kerana bubur lambuk yang baru dimasak juga telah diedarkan kepada penerima yang layak.

Pertandingan itu berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di mana kesemua pasukan yang menang membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM12,000.

Pertandingan Memasak Bubur Lambuk Menara Kuala Lumpur 2024 mendapat sokongan daripada rakan kerjasama iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, Astana City Group Sdn. Bhd, Jantzen, Harta Maintenance Sdn. Bhd, dan UiTM.

Show More

Related Articles

Back to top button