PM XBerita Semasa

Kuota pelajar bumiputera di matrikulasi dikekalkan – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mengekalkan kuota bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program matrikulasi.

Beliau berkata, ia tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri tempat dalam matrikulasi.

“Kuota bumiputera tetap dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera (dan) Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Semalam, beliau mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini.

Keputusan itu dibuat susulan perbincangan bersama Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan butiran selanjutnya berhubung pengumuman itu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button